Monday, June 22, 2009

Mari kiTa aMalKan BersaMa..

Sebagai seorang wanita, tugas sebagai seorang isteri dan suri rumah memang memenatkan. Bebanan itu akan bertambah apabila telah mempunyai anak dan terpaksa pula bekerja untuk meringankan beban suami. Hanya orang yang benar-benar sabar yang boleh menjalankan semua tugas ini dengan penuh rasa ceria. Kita menghormati wanita-wanita yang mempunyai jiwa yang tabah. Sebagai manusia biasa, ada waktunya timbul rasa teramat penat setelah bertungkus-lumus menjalankan kerja-kerja rumah. Tambahan pula apabila suami tidak turut sama membantu. Keadaan ini boleh menambah tekanan hidup dan jika tidak diuruskan secara profesional, kerukunan rumah tangga akan terjejas. Bagi mengatasi kepenatan melaksanakan tugas-tugas seharian sama ada dirumah mahupun di tempat kerja, bolehlah jadikan petua yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada puteri kesayangannya Saidatina Fatimah sebagai penawarnya.

Suatu hari Saidatina Fatimah mengadu kepada suaminya Saidina Ali bin Abu Talib tentang kesakitan pada tangannya kerana keletihan menggiling gandum untuk membuat roti. Saidina Ali berkata : "Bapa kamu telah datang membawa balik tawanan perang. Berjumpalah dia dan mintalah seorang khadam untuk membantumu."

Saidatina Fatimah pergi bertemu bapanya dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya dirumah. Bagaimanapun Rasulullah s.a.w. tidak mampu memenuhi permintaan anak kesayangannya itu. Lalu Baginda s.a.w. pergi menemui puterinya serta menantu itu. Baginda s.a.w. berkata: "Apakah kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua berbaring untuk tidur, bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan bertakbir (Allahuakbar) 34 kali. Ia adalah lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam."

Inilah penawar ringkas yang Nabi s.a.w. ajarkan kepada anak dan menantunya bagi meringankan keletihan dan kesusahan hidup mereka berdua. Saidina Ali terus mengulang-ulang kalimah-kalimah Rasulullah s.a.w. ini. Katanya: "Demi Allah aku tidak pernah meninggalkannya semenjak ia diajarkan kepadaku." Sayugia dicadangkan kepada ibu-ibu, suami-suami atau sesiapa sahaja yang merasai kepenatan setelah melakukan tugas-tugas harian supaya mengamalkan membaca 'Subhanallah' (33 kali), 'Alhamdulillah' (33 kali) dan 'Allahuakbar' (34 kali) pada setiap malam iaitu sebelum melelapkan mata.
Lakukanlah dengan penuh ikhlas dan istiqamah (berterusan), Insya-Allah petunjuk Nabawi ini mampu menyelesaikan bebanan-bebanan hidup seharian kita. Akan terserlah ceria di wajah pada keesokan hari dengan senyuman.

No comments: